
| Bapa (Suami) |
|
|
|
| Ditulis oleh Administrator |
| Selasa, 12 Ogos 2008 22:33 |
|
Tips untuk para bapa (Suami)
Dulu, anda mungkin seorang suami. Sekarang - sejak kelahiran si comel kesayangan anda itu - peranan anda bertambah menjadi dua iaitu suami dan bapa. Anda perlukan beberapa perubahan dan penyesuaian kerana memikul dua tanggungjawab sekali gus. Menyesuaikan diri daripada status bujang kepada status suami mungkin tidak sesukar menyesuaikan diri daripada status suami kepada status bapa. Tugas bapa amat berat dan mencabar. Tapi, secara semulajadi, anda pasti mampu menyesuaikan diri dengan tugas-tugas berkenaan. Pada peringkat awal, bayi amat bergantung kepada ibunya. Seseorang bayi itu langsung tidak tahu berdikari dan amat-amat bergantung kepada orang dewasa. Dahulu, isteri anda mungkin meluangkan banyak masa melayan anda. Tapi, dengan adanya bayi kecil yang lemah itu, dia tidak lagi mempunyai masa untuk melayan anda seperti dahulu. Oleh itu, anda perlu memahami dan memberi peluang kepada bayi untuk mendapat layanan sepenuhnya dari isteri anda. Sebagai seorang yang matang dan dewasa, jangan terlalu meminta-minta dari isteri. Sebaliknya, banyakkan memberi. Hulurkan bantuan sepenuhnya, baik kepada isteri mahupun kepada bayi. Jika anda berjaya menghilangkan sifat pentingkan diri sendiri, anda akan lebih berasa tenang. Anda juga akan dapat berasakan betapa isteri amat menyayangi anda lebih dari sebelum ini, jika anda banyak memberi dan menyokongnya. Kebanyakan lelaki mungkin terasa cemburu bila melihat isteri berlebihan memberi perhatian kepada anak-anak berbanding dirinya. Sesetengah perasaan ini mungkin berpunca dari kasih sayang yang kurang dikecapi ketika zaman kanak-kanak dahulu. Dari segi psikologi, keadaan ini akan memberi kesan secara halus dalam perkembangan keperibadian seseorang sehingga dia matang dan dewasa. Sebagai bapa, cuba kenalpasti perasaan seperti ini dan hindarkan kerana ini akan memberi kesan negatif kepada hubungan kekeluargaan anda. Kadang-kadang anda berasa bosan bila melihat isteri terlalu memanjakan anak. Mungkin anda mencadangkan agar isteri membiarkan anak itu menangis sendirian sehingga reda tangisannya. Atau menyuruh isteri menghantar anak kepada pengasuh ketika hendak keluar makan angin atau membeli-belah bersama isteri. Jika perasaan begini timbul dalam sanubnari anda, cepat-cepat ingatkan diri anda bahawa sikap bayi yang terlalu meminta-minta seperti ini adalah sementara. Namun, walaupun sementara, kesan pengabaian ketika masih bayi akan kekal dalam perkembangan sahsiahnya buat selama-lamanya. Bayi yang diabaikan ketika dalam buaian lagi, akan membesar menjadi seseorang individu yang tidak begitu ceria dan bahagia. Ia tidak akan mempunyai sahsiah yang sihat serta positif berbanding bayi yang keperluannya dilayan dengan sepenuhnya dari hari pertama kelahiran sehingga tahun-tahun awal pembesarannya. Dalam masa yang sama, anda mungkin mendapat hikmah di sebalik kelahiran bayi ini. Mungkin kelahiran bayi ini akan lebih mendewasakan anda. Anda lebih banyak berkorban dan menerima hakikat bahawa anak lebih perlukan belaian dan sentuhan kasih sayang. Anda juga akan mulai menerima kenyataan bahawa cara hidup anda dan pasangan anda akan berubah dengan kelahiran si comel itu. Selain terpaksa berperang dengan perasaan dan gangguan-gangguan akibat tangisannya, anda juga terpaksa ringan tulang dalam membuat kerja-kerja rumah serta memasak. Anda perlu ingat bahawa adalah mustahil bagi seorang isteri untuk menjaga anak, melayan suami dan pada masa yang sama mempastikan rumah kemas bersih atau makanan sentiasa terhidang di atas meja. Jika isteri terlalu menumpukan perhatian untuk mengemas rumah dan memasak makanan yang sedap-sedap, dia mungkin kurang mempunyai masa untuk membelai bayi dan melayan anda. Ingatkan pada diri anda bahawa rumah dan barang-barang di dalamnya adalah untuk keselesaan ahli keluarga anda. Bantu lah isteri dalam kerja-kerja yang patut dan boleh anda lakukan. Jika mampu, beli lah peralatan rumah yang moden yang boleh meringankan kerja-kerja rumah. Semakin banyak masa isteri anda dapat dijimatkan dalam membuat kerja-kerja rumah, semakin banyak lah masa yang dapat diluangkannya bersama anda dan anak-anak. |
| Terakhir Dikemaskini pada Khamis, 29 Julai 2010 07:49 |